Setakat ini, dalam banyak-banyak kerja berlakon yang dibuat, ini yang sangat penat.
Mengenai iklan komersial ini, saya dipilih sebagai salah satu pelakon ekstra.
Ekstra diibaratkan sebagai prop bagi memperindahkan cerita keseluruhan bagi plot iklan yang dibina.
Pihak talent agency menghubungi saya bagi mendapatkan persetujuan. Sebaik sahaja menerima emel daripada mereka, emel balas dibuat menandakan setuju.
“Tidak mengapalah jadi ekstra, asalkan job berlakon masuk.”
“Takpun asalkan duit masuk.” Sebagai menenangkan hati.
Pemilihan watak ekstra dibuat tanpa memerlukan calon menghadiri sesi audition. Apabila tiada sesi tersebut, selalunya skop kerja ekstra bukan yang dikira utama. Pendek kata ia ‘job’ kecil sahaja.
Semalam sebelum hari shuting, saya ditempatkan di hotel bagi bermalam. Hal ini kerana waktu panggilan masuk adalah pada jam 5.15 keesokan paginya. Tidak sempat untuk menaiki tren terawal.
Waktu Ramadan selalunya mencabar aspek fizikal kerana perlu mengawal pemakanan supaya badan sentiasa cergas. Jam 2.00 pagi perlu bangun bagi bersahur, kemudian tidur semula sebelum bangun jam 4.30 pagi.
Waktu tidur yang sebegitu menyukarkan badan untuk membiasakan diri, lagi-lagi esok seharian berlakon.
Penggambaran dibuat di stesen Takadanobaba, pinggir bandar Tokyo di mana stesen tersebut masih mempunyai rangkaian laluan Tokyo Metro.
Pada jam 5.15 pagi, kelihatan sudah ramai kre dan pelakon ekstra sudah menunggu. Lampu denyar, tripod, pemantul cahaya dan kamera sudah tersedia.
“Mesti Ishihara Satomi datang ni.” Hati berkata demikian kerana iklan Tokyo Metro diterajui oleh Ishihara Satomi. Beliau termasuk dalam senarai 50 artis wanita Jepun yang menerima gaji tertinggi di Jepun.
“Ini kalau lelaki tengok dia, mesti paling kurang puji kecantikannya.” Bisik hati ini lagi. Pada tahun 2017, Ishihara Satomi mendapat tempat ke-34 dalam ‘Top 100 most beautiful faces in the world’. Tahun 2016 beliau mendapat tempat ke-6.
Pelakon itu hanya 1 tahun tua dari saya, walau bagaimanapun pencapaiannya sebagai kerjaya pelakon sangat memberangsangkan. Beliau diangkat sebagai orang yang berkemahiran tinggi dalam seni lakonan.
Di situ, terbit rasa ingin tahu bagi melihat kedatangan pelakon utama tersebut di tempat penggambaran.
Jadi saya cuba untuk menyelit di sebalik lampu denyar dan kru-kru. Tidak sampai beberapa minit, aku disapa oleh jaga (guard).
Dengan isyarat tangannya, jaga tersebut meminta aku balik ke tempat menunggu asal. Nada ringkas percakapannya juga dibuat tegas. Begitu juga raut wajahnya dibuat ala-ala ‘poker face’ Jepun.
“Hmm, macam kena halau pula, walhal aku ni pun terlibat dalam penggambaran.”
“Kat sini mana ada halang apa-apa, tetapi kena suruh balik ke tempat asal.”
Saya mula tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan.
“Tidak mengapalah, lagipun hanya ekstra sahaja. Hal kecil sahaja pun.” Aku cuba menenangkan diri. Lagi-lagi penggambaran baru sahaja bermula, cuma giliran saya masih belum tiba.
Antara kerja sebagai pelakon adalah menunggu. Penungguan ada ketikanya seperti bulan jatuh ke riba. Tidak tahu bila masanya tetapi badan tidak sabar-sabar untuk melakonkan watak yang diberikan.
“Kamaru-san..” Kru mula memanggil menandakan kerja sebenar bermula.
Barisan pelakon ekstra mula memasuki tempat penggambaran, iaitu di dalam restoran.
“Agaknya ada tak peluang aku termasuk dalam frame kamera?” Hati tertanya-tanya.
Kru meminta untuk duduk di meja, di mana makanan Myanmar dihidangkan. Mereka meminta untuk melakonkan ini:
– suasana gembira menghadap makanan.
– emosi sedap apabila merasa makanan.
“Wah, macam mana ni?!”
“Aku sedang puasa sekarang, bukannya puasa sunat.”
“Takkan nak batalkan puasa semata-mata berlakon?”
“Aiseh, makanan mana yang halal nih.”
Bagi memastikan puasa tidak terbatal dan aksi lakonan menjadi, idea ini dibuat:
– memasukkan makanan ke dalam mulut.
– kunyah.
– melakonkan aksi gembira dapat makan dengan kawan.
– pastikan tidak tertelan.
Satu lagi masalah, iaitu isu halal haram ketika menjamah makanan. Alhamdulillah, ada dua hidangan di mana makanannya tidak mempunyai daging.
“Fuh, lega.” Syukur atas Ilahi atas pertolongan-Nya.
“Ok, so aku pilih makan kacang. No choice.” Kacang menyebabkan semakin sukar untuk memuntahkan balik makanan setelah habis sesi lakonan.
Berbekalkan idea tersebut, saya mengharapkan muka masuk dalam skrin kamera.
Alhamdullilah, sekali lagi kamera besar diletakkan di depan meja kami duduk. Syukur atas rezeki yang dikurniakan-Nya.
Setelah habis sesi saya, sesi berikutnya adalah sesi Ishihara Satomi, cuma tidak sempat untuk bertegur sapa dengan beliau.
Di set penggambaran, Ishihara Satomi merupakan VIP. Toyota Vellfire membawa beliau betul-betul di depan set penggmbaran. Kami pula berjalan kaki 7 minit untuk ke tempat yang sama.
Setelah habis penggambaran, pelakon ekstra perlu tunggu di luar bangunan, suhu juga panas kerana permulaan musim panas, tetapi Ishihara Satomi dapat berteduh di dalam kereta Vellfire.
“Jealous gila.” Ego lelaki dihentak.
“Cuma, mesti kru penggambaran lagi penat.” Mata melihat akan kesungguhan mereka berlari dalam membuat kerja yang ditetapkan.
“Sudahlah kru adalah orang sebalik tabir sahaja, tetapi kena hadap cahaya matahari.” Saya perlu berterima kasih atas pengorbanan mereka dalam memastikan pelakon dapat ‘menayangkan’ muka dengan baik.
Sesi berehat dibuat bagi memberikan ruang kepada semua orang makan tengahari, tetapi saya tidak boleh makan kerana puasa. Hanya mampu tengok sahaja.
Lokasi penggambaran berpindah ke tempat lain. Sekali lagi dipanggil dan kali ini hanya jadi pejalan kaki. Kamera pula berada jauh dari tempat pelakon ekstra.
“Memang confirm bayang-bayang pun tak masuk kamera.”
Ada kawan seperjuangan memberitahu sebegini:
“This shooting I don’t like it. The crew is not good.”
“The treatment to us is not good.”
Saya hanya mampu mendengar tanpa meluahkan apa-apa komen. Ketika bersama dengan pelakon ekstra dari Bangladesh, sempat saya ditanya mengenai pengalaman berlakon.
Bagi memotivasikan diri sendiri juga, ini yang diperkatakan kepada orang Bangladesh itu:
「どんな小さな仕事でも、頑張ります。」
“donna chiisana shigoto demo, gambarimasu.”
“Walau sekecil mana kerja sekalipun, akan berusaha.”
Ketika meluahkan perkara tersebut, hati memikirkan bahawa setiap kerja yang dilalui ini adalah pengalaman.
Kerja yang sekecil ini, masih boleh melangkah satu tapak ke depan. Maknanya ia satu kemajuan dalam kerjaya lakonan ini.
Kali ini terpandang lagi pelakon Ishihara Satomi.
“Tinggi rupanya. Ingatkan kecil orangnya.” Di Jepun, sudah ramai generasi muda yang tinggi-tinggi. Saya setinggi 175 cm pun masih ramai lagi yang lebih tinggi.
Setelah habis sesi penggambaran, sekali lagi terpandang Ishihara Satomi. Beliau berjalan di bahu jalan raya, tetapi ditemankan dengan orang yang memayungkan dirinya.
“Memang jealous nih.”
“I am a late starter, and yet she already at the top level.”
Walau bagaimanapun, cepat-cepat bolakkan hati semula supaya berfikiran lebih positif.
“One day I will become like her.”
Jadi, berlakon di tempat set penggambaran dengan pelakon popular Jepun dapat tempiasnya.
Insya-Allah akan berusaha lagi supaya tangga kerjaya dapat dipertingkatkan ke tahap tinggi.



pautan web iklan:
https://www.youtube.com/watch?v=r0b6qOpAdqQ
https://www.facebook.com/185384951968638/videos/2215681675344909/
===============================================================================
Artikel ini ditulis oleh : Kamal Zharif bin Kamaludin, untuk JOMPJAPAN