SEIYUU (Pelakon suara): PENGENALAN

Mamoru Miyano, seiyuu yang sangat terkenal di Jepun (Sumber gambar :

Seiyuu (声優) dikenali sebagai pelakon suara dalam Bahasa Melayu. Seorang seiyuu ‘berlakon’ dalam anime, audio drama, filem, permainan video dan sebagainya dengan menggunakan suara sahaja, tanpa menampilkan wajah mereka.

Sejarah pelakon suara di Jepun telah bermula seawal tahun 1920-an dan mula menjadi popular sekitar tahun 1960-an. Ketika itu, banyak drama dan filem asing yang dibawa masuk ke Jepun menyebabkan permintaan kepada industri alih suara meningkat.

Perkataan seiyuu berasal daripada “koe no haiyuu” (声の俳優) [koe bermaksud suara, manakala haiyuu ialah pelakon] yang telah dipendekkan menjadi seiyuu (声優). Perkataan ini mula digunakan secara meluas pada tahun 1970 berikutan populariti anime ‘Space Battleship Yamato’.

Seiring perkembangan ini, seiyuu menjadi semakin terkenal. Mereka mempunyai kelab peminat tersendiri. Malah sesetengah peminat menonton anime atau rancangan tertentu disebabkan oleh kemunculan seiyuu yang diminati mereka.

Selain itu, seiyuu mempunyai hubungan yang rapat dengan cabang industri hiburan yang lain. Misalnya, ada pelakon yang menjadi seiyuu, dan ada seiyuu yang melebarkan bakat sebagai pelakon.

Mizuki Nana, antara seiyuu yang juga berjaya sebagai penyanyi (Sumber Gambar : MyAnimeList)

Begitu juga dengan bidang nyanyian. Ada seiyuu yang menceburi bidang nyanyian seperti Miyano Mamoru dan Mizuki Nana. Ada juga seiyuu yang mempunyai kumpulan mereka sendiri seperti kumpulan GRANDOREO (Taniyama Kishou) dan kumpulan OLDCODEX (Suzuki Tatsuhisa).

Kerjaya seiyuu semakin diminati oleh remaja dan belia di Jepun. Difahamkan bahawa kini terdapat sekitar 130 buah sekolah yang menawarkan program “Lakonan Suara”. Selain itu, ada juga agensi bakat dan kumpulan teater yang menjadi tempat latihan seiyuu.

Sapporo Manga and Anime & Voice Professional School ialah sebuah sekolah yang menawarkan kursus seiyuu. Tempoh pengajian adalah selama 2 tahun dengan yuran sekitar 2 juta yen. Pelajar luar negara juga boleh mendaftar jika berminat untuk menjadi pelakon suara di Jepun.


Artikel ditulis oleh IZYAN. Beliau merupakan pelatih PROGRAM TEMAN PENA & BUKU. Kenali Izyan  dengan lebih dekat lagi di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *