Assalamualaikum
Alhamdulillah, setakat hari ini 25 Januari 2021, banyak benda yang berlaku pada AHB. Yang penting, dari apa yang saya perhatikan. Kerja saya di NIJI TALENT sebenarnya lebih lancar dari kerja saya di bahagian-bahagian AHB yang lain, hahahaha. In case kalau ada yang tak tahu atau tak perasan, saya ada bagitahu sebelum ni yang AHB terdiri daripada 2 kumpulan pengurusan iaitu Kumpulan Pengurusan Induk dan Kumpulan Pengurusan NIJI. NIJI TALENT ni dekat Kumpulan Pengurusan NIJI la. Boleh tengok dekat sini .

NIJI TALENT ialah bahagian AHB yang menguruskan program-program dalam bidang seni dan hiburan. Jadi kerja saya dalam NIJI TALENT ni banyak memerlukan saya mencari bakat-bakat untuk diuruskan dalam Kumpulan Artis NIJI dan juga menguruskan projek-projek dalam Program Latihan Bakat NIJI. Selain dari itu, saya juga bertanggungjawab berkongsikan info dan artikel mengenai kumpulan selebriti dalam industri hiburan di Jepun, Korea Selatan & Malaysia supaya dapat mengubah persepsi masyarakat Malaysia mengenai dunia hiburan secara umumnya. Hiburan ni kalau digunakan dengan betul, sebenarnya boleh mendatangkan manfaat kepada seseorang dan saya berani katakan yang ianya juga boleh menjadi alat untuk mengharumkan nama Malaysia dan membantu menaikkan ekonomi negara.


Okay, sebenarnya bercakap pasal tugas saya yang kena berkongsikan info dan artikel mengenai kumpulan selebriti tu, sebenarnya saya masih belum sempat menulis artikel lagi, hahahaha.. sebab terlalu sibuk dengan Kumpulan Artis NIJI dan Program Latihan Bakat NIJI sebelum ni. Baru hari ni saya boleh mulakan menulis. Tapi rasanya tak boleh juga kalau saya terus menulis artikel mengenai bidang seni hiburan tanpa saya bercerita sedikit sebanyak tentang penglibatan saya dalam bidang tu kan? hehe..jadi dalam post ini saya nak berkongsikan sikit, jadi pastikan baca sampai habis ye🥰
Minat Seni Sejak Zaman Sekolah
Sebenarnya saya dah mula berminat dengan bidang seni ni sejak saya kecil lagi. Masa di sekolah rendah. Masa dekat sekolah rendah dulu kan pelajar kena buat banyak persembahan, hehe. Saya tak kata yang saya aktif sebab persembahan-persembahan dekat sekolah rendah dulu tu pon boleh kata semua pelajar kena sertai. Jadi saya menyertai persembahan bukan sebab bakat saya, tapi memang atas kehendak cikgu masa tu. TAPI, masa tulah saya sedar yang saya seronok berada di atas pentas ketika membuat persembahan. Saya suka bila orang beri perhatian pada saya di atas pentas, hahaha. Jadi saya kira secara tidak langsung, itu ialah titik permulaan saya dalam bidang seni hiburan. Saya suka menghiburkan dan menggembirakan orang melalui persembahan saya. Oh ye, persembahan tu macam-macam la ; dikir barat, nasyid, tarian zapin, koir dan sebagainya.

Berlakon di Kolej Matrikulasi
Apabila menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Johor pada tahun 2003 ni pon, saya masih lagi dengan cita-cita masa saya di sekolah menengah dulu. Masih lagi boleh fokus dengan pelajaran. Sampailah ada satu ketika tu, kumpulan saya kena berlakon di dalam kelas sebagai antara aktiviti pembelajaran masa tu. Saya tak ingat la apa topik lakonan kami tu tapi watak yang saya lakonkan ialah watak perempuan tua yang jahat, hahaha. Dan masa saya berlakon tu, saya boleh perasan yang satu kelas senyap dan semua mata fokus pada saya. Dan bila habis berlakon tu, ramai yang puji lakonan saya. SAYA RASA SERONOK SANGAT! Sebenarnya masa berlakon tu pon saya dah rasa seronok yang amat. Tambah lagi, masa tu pon saya masih sangat suka menyanyi sorang-sorang dan pada standard yang ditetapkan diri sendiri, suara saya sedap juga..hahaha..Maka pada ketika itulah, baru saya perasan yang saya memang ada minat dan sedikit bakat dalam bidang seni hiburan.
Mula Aktif di Universiti
Apabila saya menyambung pelajaran di UKM pada tahun 2004, saya mula tak boleh fokus dalam pembelajaran. Saya menyambung pelajaran dalam bidang Zoologi. Mungkin subjek-subjeknya terlalu susah untuk saya hadam. Mungkin juga sebab saya terlalu lalai dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum, hahaha. Yelah, di universiti kan ada banyak kelab dan persatuan. Jadi saya ni antara yang kemaruk sertai kelab dan persatuan yang ada. Kalau yang berkaitan dengan bidang seni hiburan ni pula saya sertai kelab teater, kelab vokal, nasyid dan kompang. Saya merupakan ahli kumpulan nasyid Insyirah, sebahagian dari Persatuan ARTISUKMA UKM. Pernah juga sertai pertandingan karaoke dekat universiti dulu. Tak menang pon haha, tapi itu tak penting. Yang penting sebab saya memang SUKA SANGAT sertai aktiviti seni. Di UKM juga la saya mula berjinak-jinak dengan kerja-kerja pengurusan sebagai jawatankuasa pertandingan karaoke, jawatankuasa pertandingan teater dan sebagainya.
Berterusan Aktif Semasa Mengajar
Apabila saya mula mengajar sebagai Guru Sandaran Tak Terlatih (GSTT) pada tahun 2009, peluang untuk saya aktif dalam bidang seni juga masih lagi ada. Yelah, di sekolah kan ada banyak kelab & persatuan, lebih kurang sama seperti di universiti. Malah pengalaman saya menguruskan program seni di universiti dapat saya praktikkan di sekolah sebab selain mengajar di kelas, guru-guru juga bertanggungjawab menguruskan kelab dan persatuan serta pelbagai macam program di sekolah. Haa..besar tau tanggungjawab guru ni. Nasib saya memang minat seni. Kadang-kadang program tu tak mewajibkan penglibatan saya pon tapi saya dengan sukarelanya melibatkan diri kalau ianya berkaitan dengan seni, haha.
Pernah juga saya cuba untuk wujudkan kumpulan artis di sekolah, melibatkan pelajar-pelajar sekolah berbakat. Tapi gagal kot projek tu sebab terlalu sibuk dengan tugas guru yang lain. Di sekolah juga saya merupakan guru matapelajaran Rekaan & Jahitan Pakaian dan Pendidikan Seni Visual. Dua-dua pon bukan bidang saya, haha.
Dan sebenarnya masa di sekolah dulu la idea untuk menubuhkan sebuah akademi seni untuk melahirkan artis terlintas di fikiran. Masa tu ialah pada tahun 2015. Saya siap pernah hasilkan projek komik mengenai AHB lagi sekitar tahun 2015 & 2016. Tapi sebenarnya bukan mudah proses untuk menubuhkan akademi yang macam itu. Lagi-lagi bila tidak ada model perniagaan yang sesuai dengan objektif akademi. Jadi banyak kali juga saya sesat masa dalam proses menubuhkan AHB. Dipendekkan cerita, walaupun dah banyak kali ‘salah’ dalam menguruskan AHB, tapi sebenarnya Allah dah caturkan perjalanan saya dengan secantik-cantiknya di mana saya kembali semula ke niat asal dulu iaitu bagi menubuhkan kumpulan artis melalui sebuah akademi seni.

Jadi itu sajalah serba sedikit perjalanan dan penglibatan saya dalam bidang seni ni. Saya ni bukanlah nak jadi seorang artis, haha. Cuma seorang insan yang sangat berminat dengan artis dan percaya yang golongan artis atau golongan berbakat ini juga sebenarnya boleh memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat dan negara. Dan sebab itulah saya ingin menguruskan mereka, menulis tentang mereka dan juga mahu menghubungkan mereka dengan masyarakat luar supaya akan lebih ramai yang menghargai golongan yang berbakat dalam bidang seni hiburan ini.