Di set penggambaran, sempatlah jumpa beberapa orang. Drama yang saya terlibat sekali adalah berkisahkan kehidupan orang sebenar. Cuma genrenya berkisarkan komedi dan semi-biografi, jadi ada unsur fiksyen dimasukkan sekali.
Setibanya di studio, tercari-cari studio mana yang perlu pergi. Ada banyak studio dan ada perlu berjalan kaki jauh. Sekali lagi terserempak dengan casting director yang sama. Beliau yang menyarankan saya untuk mencuba berlakon dalam drama ini. Alhamdulillah prestasi baik membolehkan beliau memujuk pihak produksi untuk menerima saya berlakon.
Sebenarnya, watak yang dimainkan saya tidaklah besar mana. Dalam bahasa Inggeris dipanggil suppliment actor, tetapi dramanya mempunyai nama yang besar pada mata penonton Jepun dan penonton negara-negara lain. Sebelum datang ke set penggambaran, beberapa hari lepas sudah membuat sedikit ‘survei’ akan siapa pelakon-pelakonnya, termasuklah pelakon-pelakon sampingan.
Pelakon-pelakon sampingan ada lelaki dan perempuan, kalau dilihatkan profil media sosial mereka tidaklah ada banyak pengikut. Ia bermakna, pelakon yang tidak mempunyai nama lagi.
“Hmm, all of them are struggling actors.”
Casting director yang sama berjalan sekali dengan saya untuk pergi ke lokasi penggambaran. Setibanya di tempat menunggu, beliau memberitahu:
“Make friends with them.”
“Oh, ok.”
Oho, rupanya ada ramai pelakon yang sama tahap dengan saya, ada lelaki dan perempuan. Sebenarnya pemalu sifat diri ini, tetapi cuba untuk bercakap juga dengan mereka.
“Apa khabar, nama saya Kamal.”
“Boleh saya tahu nama?”
Dari situ mulalah satu persatu memberitahu nama mereka. Mereka mula berdiri dan ada yang mendekati saya bertanya nama semula. Dari situ perbualan demi perbualan berlangsung.
“Awak pegang watak apa.”
“Saya pegang watak pelakon dalam cerita ini.”
“Oh, pelakon dalam pelakon.”
“Pernah tengok season 1 drama ini?”
“Pernah saya tengok semua, dan agak menarik juga.”
“Season 2 ini awak ada kena hafal apa-apa skrip?”
“Setakat ini tiada, tetapi perlu buat adlib.”
Macam-macam ditanya bagi menyemarakkan perbualan, sehingga ada pelakon memanggil saya ‘Choco-onii chan’. Maksudnya ‘abang coklat’ kerana saya dilihat suka makan coklat. Di tempat menunggu, memang ada snek-snek dan minuman yang disediakan. Jadi tiadalah rasa bosan dan terlalu lapar. Sempat bertanya juga apa kerja mereka.
“Oh, saya bekerja full time actor.”
“Wow, full time!”
“Jadi selepas berlakon, apa awak buat?” Saya teruskan bertanya kerana kerja berlakon mencabar terutamanya pada peringkat permulaan.
“Saya bekerja part-time di kedai yakiniku.” Yakiniku bermaksud daging bakar.
“Saya mahu menjadi pelakon sepenuh masa dan berhenti dari bekerja di kedai yakiniku.”
Begitu juga dengan pelakon-pelakon lain, ketika sudah di peringkat ini dan ditawarkan berlakon dalam drama berprestij, itulah jawapan mereka. Agak terharu atas usaha mereka. Walaupun masih tiada nama dan sudah pun bertahun meniti kerjaya pelakon, tetapi azam mereka mereka masih teguh. Kerjaya berlakon memerlukan pengorbanan sebegini:
kerja lebih masa.
ambil job-job kecil sahaja.
kerja dalam waktu yang tidak menentu, jadi sukar hendak buat kerja sambilan lain yang perlukan fixed-time.
gaji yang diterima ada masanya tidak mampu tampung kos hidup. Walaupun jumlah gajinya besar bagi per kerja dan per masa, kalau kurang tawaran berlakon tetap sahaja tak cukup duit.
Jadi, ya kawan-kawan, pada peringkat permulaan ada banyak sahaja cabaran. Apabila meneliti dengan sabar dan ambil sahaja peluang yang melintas depan mata, insya-Allah sinarnya akan nampak.
“I am really proud of you guys, that still continue to walk through the path, even it is hard.”
Artikel ditulis oleh Kamal Zharif untuk JOM P JAPAN TALENT.