Kisah ini adalah cebisan cerita lagenda rakyat Jepun yang disebut tradisi “membuang orang tua ke dalam hutan” atau “Ubasuteyama”.
Kisahnya :
Suatu hari, ada seorang lelaki yang mahu buang ibunya yang sudah tua ke dalam hutan. Lelaki itu sudah tak dapat menjaga ibunya yang sudah lumpuh dan nyanyuk kerana kemiskinan. Dengan hati yang berat, dia menggendong ibunya itu ke dalam hutan tebal.
Dalam keadaan tak berdaya, ibunya berusaha mengambil ranting pokok-pokok yang dapat dicapainya. Ranting-ranting itu dipatahkan dan ditabur di sepanjang jalan yang mereka lalu. Sampai di tengah hutan, si anak menurunkan ibunya lalu dia mengucapkan kata perpisahan sambil menahan sedih. Dia tidak menyangka yang dia tergamak melakukan perbuatan itu kepada ibunya sendiri.
Dengan tenang, wanita tua itu membelai lembut kepala anak yang dikasihinya itu. Sambil tersenyum, ibunya mengeluarkan kata-kata ini :
“Anakku, ibu sangat sayang dengan kamu sejak kecil sampailah dewasa. Sehingga ke hari ini, rasa sayang itu tak pernah kurang. Tadi, masa datang ke sini, ibu sempat tanda jalan yang kita lalu dengan ranting kayu. Ikutlah tanda tu, nanti kamu selamat sampai ke rumah. Ibu takut kamu tersesat, anakku.”
Mendengar kata-kata itu, lelaki itu meraung sekuat hati sambil memeluk erat ibunya yang kelesuan. Dengan hati yang nekad, dia menggendong semula ibunya dan membawanya pulang. Akhir cerita, lelaki itu menjaga ibunya yang sangat menyayanginya itu sehingga akhir hayat.
Penerangan :
1. Istilah “Ubasuteyama” datang daripada perkataan “Ubasute” iaitu membuang orang yang sudah tua dan “Yama” yakni gunung.
2. Tradisi ini dilakukan di dalam hutan Aokigahara yang terletak di kaki gunung Fuji.
3. Hutan ini didakwa sebagai lokasi anak-anak derhaka menamatkan riwayat ibu bapa yang telah uzur dengan cara membiarkan mereka maut kelaparan dan kesejukan.
4. Semua ini dibuat disebabkan faktor kemiskinan dan demi menjaga kelangsungan hidup ahli keluarga lain.
5. Walaupun tradisi ini dikatakan dongeng, namun, Shichirō Fukazawa telah jadikan ia idea menulis novel “Narayama Bushikō” (The Ballad of Narayama) dan kemudian diangkat menjadi filem oleh Keisuke Kinoshita (1958) dan Shōhei Imamura (1983).
Artikel ditulis oleh Mirai Nizam . LIKE & SHARE artikel asal di sini .